AMALAN penabungan amat murni terutama apabila ibu bapa dikira sebagai menjalankan tanggungjawab berlandaskan galakan Islam terhadap ahli keluarga mereka. - Foto hiasan |
MUNGKIN masih ada segelintir dalam kalangan ibu bapa yang menyimpan duit di rumah dalam tabung, tanpa mengambil kisah risiko akan kehilangan duit simpanan mereka.
Ada juga ibu bapa menyimpan dalam bank yang memberikan jaminan keselamatan kepada simpanan mereka. Ada juga ibu bapa membuat pelaburan di beberapa syarikat yang menawarkan skim pelaburan bergantung kepada selera risiko pelaburan mereka masing-masing.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka peka kepada keperluan menyimpan untuk anak menyambung pelajaran di universiti atau di kolej. Itu yang penting.
Namun, penulis percaya masih ramai ibu bapa dalam masyarakat kita tidak mengetahui bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ada menyediakan satu produk simpanan yang unik, khas kepada anak mereka, buat persediaan untuk memasuki universiti atau kolej.
Mereka yang celik maklumat, tahu akan mendapat manfaat yang terbaik apabila berkunjung ke PTPTN. Terlahir daripada hasrat ibu bapa yang meminta PTPTN menguruskan simpanan mereka bagi meneruskan pengajian anak ke universiti dan kolej pada masa depan, inisiatif diambil oleh PTPTN untuk menghasilkan satu produk simpanan yang menjurus ke arah pencapaian matlamat dan hasrat ibu bapa.
Produk patuh syariah
Maka, lahirlah satu produk simpanan patuh syariah yang fokus kepada hasrat penyimpanan ibu bapa untuk pelaburan bagi pelajaran masa depan anak, yakni Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). SSPN-i adalah asas kepada satu lagi produk terbaru PTPTN yang dikenali sebagai SSPN-i Plus, iaitu penambahan elemen takaful ke dalam SSPN-i.
Usaha murni PTPTN dalam membangunkan produk simpanan bersadur perlindungan, yakni SSPN-i Plus, membuka mata ramai ibu bapa bijak untuk menabung dalam produk yang 100 peratus patuh syariah ini. Apa tidaknya, apabila mereka menyimpan dalam SSPN-i Plus, sekali gus mereka secara langsung mendapat perlindungan dan manfaat takaful.
Tema 'Simpan dan Lindung' adalah tepat untuk menerangkan ciri SSPN-i Plus. Amalan penabungan seperti ini amat murni terutama apabila ibu bapa dikira sebagai menjalankan tanggungjawab berlandaskan galakan Islam terhadap ahli keluarga mereka. Pemberian manfaat takaful ini ternyata memberi sinar kepada masa depan pendidikan anak-anak apabila kehilangan ibu atau bapa mereka.
Kisah ini berlaku baru-baru ini apabila seorang guru tidak menyangka mendapat perlindungan manfaat takaful SSPN-i Plus berjumlah RM170,037.20 bagi pihak isterinya yang meninggal dunia akibat lemas ketika daerah Besut, Terengganu dilanda banjir. Allahyarham membuat simpanan untuk empat anaknya sejak April 2016 lalu dengan simpanan RM30 seorang, iaitu hanya RM1 sehari.
Untuk makluman, SSPN-i Plus adalah produk simpanan berkembar dengan produk takaful yang terhebat dalam industri kini, kerana ia terbukti memberi pulangan terbaik kepada ibu bapa dan anak mereka dari segi kemudahan, pulangan dan manfaat.
Antara manfaat yang dapat diringkaskan di sini, ialah pendeposit dan anak akan mendapat manfaat khairat kematian sehingga RM18,000 dansimpanan dijamin oleh kerajaan serta anak akan layak untuk memohon pinjaman PTPTN.
Kadar dividen kompetitif
Sementara itu, setiap tahun PTPTN akan mengagihkan dividen yang jika dibandingkan dengan kadar pulangan akaun simpanan yang ditawar dalam industri, kadar dividen SSPN-i Plus adalah amat kompetitif.
Dividen yang diberikan ini juga adalah dividen yang halal kerana pelaburan dilakukan oleh Jabatan Pelaburan PTPTN adalah pelaburan kepada saluran pelaburan yang patuh syariah.
Tambahan pula, ibu bapa juga diberi pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Setahu penulis, hingga hari ini, masih tidak ada mana-mana produk simpanan dalam industri yang memberikan pelepasan taksiran cukai setinggi itu.
Di samping itu, dengan ada tambahan perlindungan takaful yang dikembarkan dengan produk SSPN-i, maka pendeposit akan mendapat perlindungan takaful sehingga RM1 juta bergantung kepada pakej yang diambil seperti pakej Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian. Dengan komitmen serendah RM30 sebulan, pendeposit dilindungi polisi takaful.
Ibu bapa juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah istimewa dalam cabutan hadiah SSPN-i Plus. Setiap deposit RM50 ke dalam akaun, akan melayakkan pendeposit untuk mendapat satu peluang cabutan hadiah SSPN-i Plus. Cabutan hadiah ini adalah patuh syariah kerana ia tidak melanggar mana-mana kehendak syariah.
Untuk makluman, cabutan hadiah yang tidak dibenarkan syariat adalah cabutan yang berbentuk 'kena bayar untuk memasuki peraduan cabutan bertuah.'
Pelaburan berbaloi
Dalam SSPN-i Plus ini, tidak ada bayaran atau yuran dikenakan apabila pendeposit memasuki peraduan cabutan ini. Simpan sekurang-kurangnya RM50, maka pendeposit layak untuk memasuki cabutan hadiah. Maknanya, ia adalah percuma. Oleh yang demikian, cabutan hadiah ini adalah dibenarkan.
SSPN-i Plus yang menggunapakai kontrak Islam wakalah bil istithmar (urus untuk pelaburan) adalah satu produk PTPTN yang memang diolah khas untuk menjayakan hasrat ibu bapa memberikan peluang pembelajaran anak mereka di mana-mana universiti atau kolej dalam atau luar negara.
Penulis difahamkan dan pasti tiada produk lain yang patuh syariah serta menawar manfaat sebegini rupa dalam industri buat masa kini. Kalau pun ada, mungkin ia produk pelaburan yang pelbagai guna dan bukan produk yang fokus kepada anak untuk memasuki universiti atau kolej.
Sebagai ibu bapa yang bijak, menyimpan di SSPN-i Plus satu produk hasil keluaran PTPTN ini adalah yang terbaik. Ia juga mendapat pengesahan produk patuh syariah dari IBFIM, sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia.
Jika hendak mengerjakan haji, simpanlah di Tabung Haji. Jika mahu simpan wang untuk hari tua, fikirkan KWSP. Tetapi, jika hendak menyimpan wang untuk pengajian anak, SSPN-i Plus adalah pilihan yang terbaik untuk mereka.
Diucapkan selamat menyimpan dan melabur untuk masa depan anak-anak dengan SSPN-i Plus. Pastinya, ia adalah satu pelaburan yang berbaloi untuk anak-anak kita sejajar konsep 'Simpan dan lindung'. Kita menyimpan dan mendapat perlindungan.
Sumber : Razli Ramli - Penulis ialah Ketua Penasihat Jabatan Penasihat Perniagaan (Syariah) Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM)
0 comments:
Post a Comment