Wednesday, April 26, 2017
PTPTN Yakin Kutipan RM4 Bilion Dapat Dicapai
10:11 PM
CSR, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Mastura Mohd Khalid, SSPN-i Plus Simpanan Pendidikan Terbaik, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN
No comments
LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin sasaran kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion tahun ini akan tercapai.
Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia kerana pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan balik pinjaman berkenaan sejak beberapa tahun lalu hingga kutipan mencatat RM3.4 bilion berbanding sasaran RM2 bilion tahun lalu.
"Ini satu petanda baik bahawa pinjaman diberikan ini akan diperolehi dalam jangka masa yang ditetapkan dan yakin dengan kejujuran peminjam demi untuk membantu generasi akan datang supaya dapat menikmati kemudahan pinjaman sama.
"Justeru, tahun ini kita menyasarkan sebanyak RM4 bilion dapat dibayar balik peminjam dan berharap peminjam dapat memberi kerjasama demi melihat lebih ramai berpeluang belajar ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN berupa peralatan katil pesakit, sudut bacaan dan permainan kanak-kanak bernilai RM20,000 kepada pihak Klinik Kesihatan Lenggong di klinik berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Stategi PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kesihatan negeri, Dr Muaz Zawawi; Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Perak, Dr Marina Kamaruddin dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Lenggong, Dr Sofiah Zainal Abidin.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pihaknya turut komited terhadap jumlah penyimpan dengan sasaran 350,000 akaun baharu di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) tahun ini apabila pelbagai insentif diberikan termasuk pembayaran dividen tertinggi iaitu sebanyak empat peratus tahun lalu.
Mengenai program CSR berkenaan, beliau berkata PTPTN melalui program CSR berkenaan menyumbangkan peralatan seperti katil wad bersalin yang turut membawa mesej dan untuk meyakinkan ibu bapa supaya terus membuka tabungan kepada bayi mereka seawal sehari kelahiran anak mereka itu.
"Ini pemberian kedua selepas Hospital Sungai Buloh, Selangor sebagai simbolik menggalakkan penabungan seawal usia sehari kerana ia menjamin masa depan bayi berkenaan dari segi kemudahan untuk pembelajaran nanti," katanya.
0 comments:
Post a Comment