Dalam kerancakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencari tempat untuk melanjutkan pelajaran, ibu bapa mula berkira-kira mengenai pembiayaan pelajaran anak mereka. Kewangan yang tidak mencukupi untuk membiayai anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi ialah fenomena yang semakin signifikan pada hari ini.
Ketidakcukupan dana pendidikan menyebabkan anak terpaksa menolak tawaran pengajian, membuat pinjaman, bekerja sambil belajar atau memohon bantuan zakat. Lebih malang ialah terpaksa memohon derma daripada orang ramai semata-mata untuk membayar yuran pendaftaran masuk universiti.
Antara punca yang dikenal pasti menyebabkan keadaan ini ialah kos sara hidup yang semakin tinggi. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kos sara hidup meningkat kepada 63 peratus. Bagi isi rumah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, sebahagian besar perbelanjaan adalah ke atas makanan, minuman, perumahan dan utiliti asas.
Keadaan ini menyebabkan peruntukan bagi belanja pendidikan adalah paling kecil. Selain kos sara hidup yang tinggi, anak yang tidak berpeluang ke universiti awam terpaksa berdepan dengan yuran kolej swasta yang jauh lebih tinggi. Bagi kursus yang popular seperti pengurusan perniagaan, kejuruteraan, perubatan dan pergigian, yurannya antara lima hingga 20 kali ganda lebih tinggi.
Peluang biasiswa yang semakin terhad dan ketat menjadikan hal ini bertambah meruncing. Bagaimana masalah ketidakcukupan dana pendidikan boleh diselesaikan?
Simpanan pada awal usia
Satu daripada kaedah yang dicadangkan ialah ibu bapa perlu membuat simpanan pada awal usia anak mereka. Tabungan boleh dibuat dalam akaun simpanan, pelaburan atau saham amanah. Namun, simpanan hanya boleh dilakukan selagi ibu bapa sihat, bekerja dan menyimpan dengan konsisten.
Sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini seperti kematian, hilang upaya kekal atau dijangkiti penyakit berbahaya sudah tentu aktiviti menyimpan tergendala dan tidak dapat diteruskan. Kebanyakan mekanisme simpanan yang ada masih belum mengambil kira kebarangkalian kejadian ini berlaku.
Sehubungan itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan satu produk simpanan yang mempunyai elemen tabungan dan perlindungan iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i Plus (SSPN-i Plus).
Tiga objektif utama SSPN-i Plus ialah membantu ibu bapa menyelesaikan masalah dan kesulitan kewangan apabila anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, membantu meringankan beban waris apabila pendeposit meninggal dunia atau mengalami musibah yang tidak diduga dan membudayakan amalan menabung dan tidak mengharapkan pinjaman.
Skim simpanan ini menawarkan 12 keistimewaan yang tidak dapat diperoleh daripada skim simpanan lain. Keistimewaan ini termasuk patuh syariah, pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000, mampu dimiliki dengan bayaran serendah RM30, dividen kompetitif, tidak mengenakan pemeriksaan kesihatan kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan, manfaat kematian/keilatan kekal, khairat kematian kepada pasangan dan tiga anak, manfaat 36 penyakit kritikal, elaun harian hospital, perlindungan 24 jam di seluruh dunia, layak memohon pinjaman PTPTN dan simpanan dijamin kerajaan.
Enam pelan simpanan
SSPN-i Plus menyediakan enam pelan simpanan sesuai dengan kemampuan pendeposit. Pelan yang paling rendah ialah RM30 sebulan dengan elemen simpanan bernilai RM20 dan elemen perlindungan RM10. Mereka yang mempunyai kemampuan lebih tinggi boleh memilih pelan yang lebih mewah iaitu bernilai RM500 sebulan dengan elemen simpanan sebanyak RM200 dan elemen perlindungan RM300.
Jumlah yang terkumpul dalam elemen simpanan adalah hak mutlak pendeposit. Sementara itu, jumlah perlindungan diterima berkadaran dengan nilai yang disumbangkan dalam elemen perlindungan.
Elemen perlindungan di bawah SSPN-i Plus mengguna pakai konsep takaful kelompok. Jenis perlindungan termasuk kematian biasa dan akibat kemalangan, hilang upaya, penyakit kritikal dan elaun harian masuk hospital.
Jumlah perlindungan yang diberikan ialah serendah RM10,000 sehingga maksimum RM1,000,000. Pendeposit biasanya terdiri daripada ibu bapa atau penjaga sah yang berumur 18 tahun ke atas sehingga mencapai 64 tahun.
Penerima manfaat terdiri daripada anak sendiri atau dalam jagaan yang sah, berumur satu hari sehingga mencapai 29 tahun. Ciri-ciri yang dimiliki oleh SSPN-i Plus menjadikannya pelan pendidikan yang komprehensif bagi setiap lapisan masyarakat.
Walaupun produk ini diperkenalkan pada 2015, SSPN-i Plus masih asing dalam kalangan masyarakat. Penyertaan masyarakat dalam skim ini masih rendah terutama dalam kalangan Bumiputera. Keadaan ini disebabkan oleh kurang kesedaran mengenai kepentingan menyimpan dan pengetahuan produk simpanan yang tepat dan sesuai.
PTPTN sedang giat melaksanakan taklimat dan kempen bagi memberi pendedahan kepada masyarakat peri pentingnya menyimpan pada awal usia, sekali gus memperkenalkan SSPN-i Plus kepada umum.
PTPTN juga mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan dalam skim simpanan komprehensif ini.
Secara kesimpulannya, SSPN-i Plus mampu membantu ibu bapa merealisasikan harapan, cita-cita dan masa depan anak mereka.
Sumber : Prof Madya Dr Rubayah Yakob adalah Pensyarah di Program Perkhidmatan Kewangan dan Pengurusan Risiko, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM