PENERBIT Eksekutif Jabatan Faktual dan Dokumentari, Primeworks Studios Sdn Bhd, Norzie Pak Wan Chik |
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan inisiatif baharu menambahbaik simpanan SSPN-i kepada SSPN-i Plus bagi memberi kelebihan yang pelbagai kepada pengguna.
Pelan simpanan ini mewujudkan beberapa variasi keistimewaan dan manfaat bagi menggalakkan orang awam menyertai pelan perancangan pendidikan masa hadapan ini.
Penerbit Eksekutif Jabatan Faktual dan Dokumentari, Primeworks Studios Sdn Bhd, Norzie Pak Wan Chik, yang baru sahaja menyertai pelan ini berkata, dia tertarik dengan keistimewaan dan manfaat yang diperoleh melalui skim simpanan pendidikan ini.
"Kesedaran untuk mengambil langkah ini timbul daripada banyak membaca dan didedahkan kepada perkembangan semasa membabitkan kumpulan pelajar dan graduan serta kekangan kuota biasiswa dan pembiayaan pendidikan tinggi negara dalam suasana ekonomi hari ini yang mencabar.
"Saya yang mempunyai empat anak berumur antara 3 hingga 10 tahun melihat pelan simpanan ini sebagai satu langkah persediaan menghadapi kesukaran apabila anak-anak saya bakal melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi kerana sudah pasti menelan perbelanjaan yang banyak.
"Sebagai ibu bapa saya tidak mahu bergantung harap kepada pinjaman pendidikan semata-mata tanpa berusaha mencari kaedah lain yang mampu membantu ibu bapa mendapat insentif lain seperti perlindungan insurans dan dividen sebagaimana ditawarkan PTPTN," katanya kepada BH.
Menariknya apabila ditanya mengapa pelan ini menjadi pilihan, Norzie menjawab terdapat banyak faedah yang bakal diperolehi bukan sahaja untuk anaknya tetapi kepada ibu bapa juga.
"Kami sebagai ibu bapa memperoleh manfaat antaranya menikmati pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 dan setiap simpanan yang dilakukan akan mendapat dividen yang kompetitif.
Perlindungan takaful
"Di situ sahaja saya melihat penjimatan perbelanjaan yang sangat besar untuk saya dan suami.
"Skim ini juga menawarkan perlindungan takaful serta khairat kematian dan yang paling penting patuh syariah. Dengan perlindungan takaful, sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku kepada saya, masa depan mereka masih terjamin," katanya.
Ditanya nasihatnya kepada ibu bapa lain, Norzie berkata, beliau sudah mengajak beberapa rakannya yang mempunyai anak kecil untuk sama-sama mula menabung.
"Apa yang membimbangkan kami ialah jika sebagai ibu bapa kami tidak membuat persediaan ini untuk anak-anak, kamilah yang akan bertanggungjawab menidakkan hak mereka untuk melanjutkan pendidikan di masa hadapan.
Ambil langkah proaktif
"Sebagai Bumiputera, kita perlu mengambil langkah proaktif dan tidak lagi terlalu bergantung dengan biasiswa atau bantuan penuh kerajaan kerana kita tahu masa depan yang menanti sangat mencabar dan kompetitif," katanya.
Norzie berkata, ibu bapa perlu meminimumkan sebanyak mungkin rintangan yang mungkin menyukarkan anak-anak melanjutkan pengajian ke menara gading.
"Skim simpanan pendidikan SSPN-i Plus adalah skim simpanan untuk masyarakat Malaysia. Jangan lepaskan peluang yang sudah tersedia," katanya.
0 comments:
Post a Comment